Selamat datang kepada semua, anda boleh hubungi saya di koyaail15[@]gmail.com

Sekilas Mengenai CIncin

Semenjak zaman kesultanan Melaka lagi telah disebut bahawa orang Melayu sama ada wanita ataupun teruna telah biasa dengan memakai cincin di jari-jari mereka. Cerita-cerita lama dalam hikayat dan beberapa sumber lain telah mengesahkan bahawa Sultan Melaka menghiaskan jari-jarinya dengan beberapa bentuk cincin yang bertatah batu permata dan licin seperti cincin belah rotan.

Cincin berasal dari Barat dan mungkin juga dari India kerana kesan budayanya sangat dipengaruhi oleh budaya tempatan khususnya di Melaka. Kebudayaan ini seterusnya telah menjalar ke seluruh negara dengan tidak disedari seolah-olah merayap seperti api dalam sekam.

Pancaran daripada pemakaian cincin telah diilhamkan kepada orang Melayu dan Cina. Lama kelamaan ini telah menimbulkan minat mereka untuk merekabentuk cincin dengan corak-corak tempatan, tetapi masih kekal dengan ciri-ciri asalnya. Ciri-ciri yang jelas ialah kedudukan dan susunan batunya yang tersembul atau tenjulur ke luar serta mempunyai birai; gelang-gelang pemegangnya yang bercanai halus kelihatan indah dengan corak dan warna batu-batu yang diikat. Kehalusan seni sebentuk cincin lazimnya dapat memperlihatkan kemahiran dan kepakaran seseorang dan seterusnya mencerminkan peradaban masyarakat yang dianggotainya.

Birai cincin untuk batu permata biasanya dikikir dan dicanai halus hingga menjadi satu cengkaman yang kukuh dan apabila dipaterikan di atas gelangnya, ia akan kelihatan kemas, berseni dan bersinar. Ada di antara cincin yang diikat dengan beberapa batu permata, disusun dan dihias dengan motif daun sebagai pengikat dan cengkamannya.

Tukang-tukang emas tempatan yang mahir dalam menyusun batu-batu permata tetap disanjung walaupun kualiti batu permata yang digunakan dan cara pemotongannya jauh daripada sempurna. Dua kaedah melekatkan batu permata atau istilah antarabangsa yang terkenal ialah “a jour” dan “bow setting”. Kaedah a jour biasanya digunakan bagi batu-batu permata yang dipotong tanpa kecacatan.

Tiada ulasan: